Rabu, 01 Januari 2014

Paip Bekalan Air Pulau Ketam Pecah Berulang


KUALA LUMPUR – Kejadian gangguan bekalan air bersih kepada penduduk Pulau Ketam dan Sungai Lima di Klang, Selangor selama sembilan hari pada Ogos lalu berulang.

Ia berikutan satu lagi kejadian paip pecah dikesan berlaku tengahari semalam membabitkan paip bersaiz 400mm jenis High Density Polyethylene (HDPE) yang membekalkan air bersih ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sekali lagi mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di kawasan Klang dan Shah Alam pada pukul 12 tengah hari semalam.

“Berikutan kejadian paip pecah ini, sebanyak 1,184 akaun pengguna dengan jumlah bilangan pengguna seramai 5,921 mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual .

“Syabas telah melantik kontraktor bertauliah untuk mengenal pasti lokasi dan punca kejadian paip pecah. Bagaimanapun, setakat kenyataan ini dikeluarkan, lokasi kejadian masih tidak dapat dikenal pasti dan menyebabkan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan dengan segera,” kata Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.

Syabas pada 2 Ogos lalu terpaksa mengaktifkan ERP Kod Hijau di Pulau Ketam dan Sungai Lima berikutan kejadian paip HDPE di dasar Sungai Terusan Bagan, Pulau Kelang pecah.

Priscilla seterusnya berkata, kerja-kerja untuk mengenal pasti lokasi paip pecah sedang giat dijalankan dengan menggunakan kaedah pengesanan dan dijangka mengambil masa berikutan kedudukan paip yang berada di dasar laut dan jajaran paip yang panjang.

Jelas beliau, jumlah aduan yang diterima sehingga pukul 4 petang ini sebanyak tiga aduan ketiadaan air.

Katanya, Syabas memahami kesulitan dialami pengguna Pulau Ketam dan Sungai Lima dan akan menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa termasuk membuka dua Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) di Jeti Pulau Ketam dan Jeti Sungai Lima.

Menurut beliau, Pusat Perkhidmatan Setempat yang beroperasi 24 jam ituberfungsi sebagai pusat informasi, bantuan dan interaksi terus dengan penduduk setempat serta wakil penduduk.

“Para pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang pembaziran sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar